PRU15: Rundingan PH-MUDA ada kemajuan, Anwar
Anwar berkata laporan media yang tular mendakwa PH menolak MUDA adalah tidak benar. |
PETALING JAYA— Rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 masih berlangsung dan ada kemajuan, kata Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata laporan media yang tular hari ini mendakwa PH menolak MUDA adalah tidak benar.
"Tak betul...(tolak MUDA), kita masih berunding dan ada kemajuan," katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, di ibu pejabat PKR, di sini malam ini.
Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat itu yang bermula pada 9.40 malam dan turut dihadiri Timbalan Presidennya Rafizi Ramli serta Naib Presiden Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Adam Adli serta Ahli MPP.
Sementara itu Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Fadzil berkata keputusan muktamad mengenai kerjasama PH dan MUDA dijangka diperoleh seawal Rabu ini.
Menurut beliau lagi, mesyuarat itu dibuat susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang antaranya membincangkan persiapan jentera pilihan raya PKR serta hasrat parti itu untuk bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen bagi PRU15.
Katanya susulan pembubaran Parlimen serta PRU15 yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, beberapa agenda PH termasuk Konvensyen PH yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini mungkin diawalkan atau ditangguhkan.
-- BERNAMA