PRU15: Pengundi muda mahukan pemimpin berkaliber, celik media sosial


KUALA LUMPUR—Berkaliber, berkebolehan menyelesaikan isu rakyat dan celik media sosial adalah antara ciri dicari pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang bakal mengundi buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Kebanyakan pengundi baharu ini juga mahukan wakil rakyat yang berperanan mengharmonikan kawasan tanpa membezakan parti, warna kulit dan agama, selain efisien mendengar suara rakyat. 


Guru tuisyen Lorrine Elspeth Lumandan, 20, dari Kota Kinabalu, Sabah, berharap agar wakil rakyat yang dipilih sentiasa mengotakan janji mereka untuk mengubah nasib rakyat dan bukannya atas dasar manifesto sahaja.


"Mereka harus sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat setempat dengan turun padang melihat sendiri permasalahan mereka, mendengar keluhan rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban mereka. 


"Selain itu, wakil rakyat juga perlu tahu memanfaatkan media sosial dalam menyampaikan mesej kepada rakyat, terutamanya golongan muda kerana kebanyakan daripada masa kami dihabiskan dengan menggunakan media sosial," katanya yang bakal mengundi di Parlimen Sepanggar kepada BERNAMA.


Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurqistina Safea Mohd Rashidi, 19, pula berpendapat wakil rakyat yang bakal dipilih pada PRU15 perlu peka kepada suara anak muda dengan mengambil berat akan kebajikan dan pendidikan negara. 


Beliau yang akan pulang ke kampungnya di Ipoh, Perak untuk mengundi buat kali pertama pada 19 Nov ini, turut mahukan platform khas untuk anak muda berinteraksi bersama pemimpin parti politik dan wakil rakyat mereka menerusi media sosial. 


"Saya juga akan melihat kepada penerimaan orang ramai terhadap pemimpin tersebut di media sosial dan kredibiliti mereka berdasarkan komen dan maklum balas daripada pengikutnya,” katanya yang turut mengikuti perkembangan semasa calon-calon bertanding melalui berita.


Pelajar diploma Kolej Yayasan Pelajaran Johor, S. SharvinJay Nath, 19, yang bakal mengundi di Parlimen Iskandar Puteri, Johor pula berkata sudah tiba masanya parti-parti politik memberi peluang kepada orang muda untuk menerajui kepemimpinan setempat menerusi PRU15.


"Saya percaya pemimpin-pemimpin muda lebih bersemangat dan efisien dalam menjalankan tanggungjawab mereka kerana selain berstamina, mereka juga rajin turun padang membuat kerja-kerja kebajikan terutamanya ketika musim banjir dan malapetaka.


"Mesej yang disampaikan oleh mereka kepada rakyat juga lebih mudah difahami, terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mereka juga celik media sosial dan sering kreatif menyampaikan isu-isu semasa kepada pengikutnya," katanya. 


Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Okt lepas, sebanyak 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15 merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Next Post Previous Post