Bunuh juruteknologi pergigian, penganggur ke tali gantung

Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh seorang juruteknologi pergigian, Seorang penganggur Bunuh juruteknologi pergigian
Gambar hiasan

SEREMBAN— Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang juruteknologi pergigian, empat tahun lepas.


Hakim Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malik Rosli, 24, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Katanya beliau telah meneliti secara maksimum keterangan dikemukakan pada peringkat pembelaan, dan memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.


BERNAMA melaporkan, Abdul Malik didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit tingkat 4 Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson kira-kira pukul 1.40 pagi, pada 19 Jan 2018.


Mayat Mahussin ditemui rakannya selepas 72 jam dilaporkan menghilangkan diri dan tidak datang bekerja pada 22 Jan 2018.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly dalam hujahannya berkata membunuh adalah kesalahan berat dan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi tertuduh sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.


“Mengikut fakta kes, kesalahan telah dirancang malah tertuduh tergamak mengambil barangan mangsa dan memukulnya menggunakan barangan dalam rumah si mati,” katanya.


Peguam Datuk Haniff Hasan yang mewakili tertuduh berkata ia bukan jenayah terancang tetapi berlaku akibat tekanan perasaan dialami oleh anak guamnya sehingga dia bertindak di luar batasan.


“Latar belakang tertuduh perlu diambil kira, dia berumur 20 tahun ketika itu, umur yang muda, tidak ada kerja tetap, datang daripada keluarga miskin.. keluarga tidak hadir hari ini kerana tak mampu untuk datang ke mahkamah,” katanya.


Haniff turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.


Seramai 32 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala hanya tertuduh seorang memberi keterangan pada peringkat pembelaan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.