Keikhlasan kerajaan Pulau Pinang pamer draf rancangan tempatan dipersoal

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader (dua, kiri) semasa sidang media hari ini. Gambar CAP 

GEORGE TOWN— Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri dalam mendapatkan maklum balas mengenai rancangan pembangunannya yang didakwa tidak dapat diakses oleh kebanyakan penduduk.


Pada sidang media yang turut dihadiri Presiden CAP Mohideen Abdul Kader, anggota jawatankuasa pemandu Penang Forum Dr Lim Mah Hui berkata ia sangat mengecewakan apabila Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) hanya dipamerkan di dua lokasi yang tidak strategik serta terhad dalam waktu pejabat. 


Lim berkata program jerayawara sepatutnya diadakan sekurang-kurangnya di lima lokasi berpopulasi seperti yang diamalkan di bandar dan majlis perbandaran lain, termasuk menganjurkan sesi dialog awam untuk menggalakkan orang ramai melihat draf tersebut, menurut BERNAMA.


Beliau turut meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya membolehkan draf itu diakses dan dimuat turun secara dalam talian, selain mengharapkan tempoh masa untuk mengumpul maklum balas orang awam dilanjutkan kepada empat minggu lagi.


Khamis lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mendedahkan draf rancangan tempatan itu dan menggesa semua pihak berkepentingan serta individu untuk memberi maklum balas atau bantahan.


Draf itu kini dipamerkan di Bangunan Syed Al-Attas di sini dan Makerspace di Balik Pulau mulai 14 Okt hingga 13 Dis ini.  

Next Post Previous Post