Alice Lau letakkan pembinaan tempat parkir kejayaan utama di Lanang

Alice bersama penyandang kerusi Parlimen Sibu Oscar Ling membeli borang penamaan calon di Pejabat Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Wisma Sanyan. Gambar FB

SIBU— Penyandang kerusi Parlimen Lanang Alice Lau mahu Pakatan Harapan (PH) diukur berdasarkan kejayaan parti itu melaksanakan pembinaan tempat parkir di Lanang.


Beliau berkata, dua tempat parkir di Hospital Sibu- dibina pada 2019 dan 2022 dengan peruntukan RM0.5 juta membuktikan dakwaan PH tidak membawa pembangunan sepanjang 22 bulan membentuk kerajaan adalah tidak benar.


“Saya dan Oscar Ling dituduh tidak membawa sebarang projek pembangunan ke kawasan ini. Namun orang ramai boleh menilai sendiri terutama mereka yang menerima projek.


“Ini termasuk pihak sekolah serta mereka yang menerima bantuan kebajikan daripada parti,” katanya dipetik Utusan Borneo Online.


Menurut Lau, pihak terbabit tidak wajar melemparkan tuduhan memandangkan semua projek dan bantuan mempunyai rekod.


“Kami mempunyai rekod setiap projek dan bantuan yang disalurkan, cuma semua tidak dapat disiarkan di akhbar,” katanya.


Sementara itu Lau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sarawak menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Lanang menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru.


Turut dijangka bertanding calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan calon bebas.


Dalam perkembangan berkaitan, Lau tidak menafikan Undi18 satu cabaran kepada semua parti yang bertanding bukan hanya DAP, memandangkan ia pertama golongan itu keluar mengundi.


“Saya tidak mempunyai strategi sebaliknya fokus kepada usaha mendidik golongan ini bahawa mereka berhak untuk bersuara dan memilih dengan mengundi,” katanya.


Lau berharap semasa kempen nanti dapat meningkatkan kesedaran golongan muda untuk menunaikan tanggungjawab dalam memilih wakil mereka.


Untuk rekod, Lau menyandang kerusi Parlimen Lanang selama dua penggal. 


Pada PRU14, beliau menang dengan majoriti 14,546 undi menewaskan calon BN Kong Sien Chiu dan Priscilla Lau (PEACE).

Next Post Previous Post