PRU15: Henti sabotaj, pastikan kemenangan BN - Ismail Sabri

Ismail Sabri  (Gambar arkib)

BERA— Perbuatan sabotaj atau 'cah keting' perlu dihentikan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan yang stabil, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 


Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ahli parti seharusnya meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan kerana ‘siapa juga yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya membawa bendera parti’, bukannya bertanding atas kapasiti individu dan kemenangan mereka adalah untuk BN. 


"Dalam pilihan raya semua hendak bertanding dan ramai yang layak untuk menjadi calon…Nak berangan sedikit mahu menjadi calon ok lah, tapi jangan sebab kita hendak bertanding, kita sabotaj kawan yang bertanding, bergerak ke hulu ke hilir untuk pastikan kawan kita kalah.

 

"Jangan fikir tentang kita sahaja. Kita seronok dua, tiga hari sahaja kerana kawan kalah, tetapi akhinya yang menderita ialah rakyat. Bayangkan perasaan ahli yang masuk parti daripada usia muda, tidak tidur malam bekerja untuk parti, (sudah pasti kecewa) apabila melihat pimpinan sendiri yang sabotaj sesama sendiri," katanya. 


Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. 


Perdana Menteri turut menegaskan keputusan PRU14 yang menyaksikan BN gagal membentuk kerajaan di Persekutuan, perlu dijadikan pengajaran untuk menguatkan kesepakatan supaya BN menang besar kali ini, untuk mengelak ketidakstabilan politik sehingga menyebabkan pertukaran kepimpinan negara beberapa kali sejak 2018. 


"Pilihan raya kali ini berbeza. Dulu, UMNO dan BN masuk pilihan raya dengan jangkaan mesti menang dan mesti boleh membentuk kerajaan di Putrajaya. Namun, selepas PRU14, jaminan 100 peratus ini tidak boleh lagi diberikan, tidak boleh lagi ambil mudah dan kita kena kerja keras untuk memastikan kemenangan BN," katanya. 


Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera juga mengimbau selepas keputusan PRU14 diumumkan, yang menurut beliau walaupun berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera dengan majoriti 2,311 undi, kemenangan itu tidak sama apabila mengetahui ramai rakan dalam parti tewas. 


"Biasa selepas keputusan pilihan raya, kita di Bera akan berjamu...kawan-kawan dari MIC bawa bunga malai. Tetapi malam itu, di Bera kita senyap sahaja dan terus saya beritahu tak perlu bawa bunga kerana walaupun Bera menang, ia tidak bermakna. 


"Jangan lupa dan jangan ambil mudah. Pengalaman pada PRU14 kena dijadikan pengajaran. Kali ini, kita kena bekerja lebih keras kerana Parlimen Bera sudah berbeza. Semua mata melihat ke sini kerana di sini Parlimen Perdana Menteri," katanya. 


Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan jentera UMNO, MCA dan MIC untuk bekerja sebagai 'satu keluarga' untuk mengekalkan kemenangan besar BN di Parlimen Bera dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan Kemayan, selain merampas semula DUN Triang daripada Pakatan Harapan. 


Gerak kerja itu juga, menurut beliau harus bermula seawal mungkin memandangkan pilihan raya umum sudah terlalu hampir selepas beliau mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post