PRU15: Calon GPS perlu lulus tapisan SPRM, insolvensi - Abg Jo

Abang Johari berkata, mereka yang lulus proses tapisan akan menjadi calon dalam PRU15. Gambar arkib Pejabat Premier Sarawak

DARO—Semua calon berpotensi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 akan menjalani proses tapisan oleh pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.


Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mereka akan diletakkan sebagai calon sekiranya lulus proses tapisan tersebut.


"Jika mereka lulus, mereka akan diletakkan sebagai calon kita (GPS). Jika mereka gagal, mereka tidak akan menjadi calon kita," katanya yang juga Premier Sarawak pada sidang media selepas melawat Kompleks Sukan Daro di sini hari ini.


Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata GPS kemungkinan akan meletakkan 12 muka baharu dan muda sebagai calonnya bagi 12 kerusi Parlimen yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14.


Kerusi Parlimen itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Puncak Borneo, Lubok Antu, Saratok, Sarikei, Julau, Selangau, Sibu, Lanang dan Miri. 


"Siapakah yang akan menjadi calon bagi 12 kerusi itu? Tunggu hari kita umumkan calon kita nanti," katanya. 


Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada penyandang daripada parti itu yang telah menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baharu. 


Mengenai peluang GPS memenangi kesemua 31 kerusi dalam pilihan raya kali ini, Abang Johari berkata masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang ramalan.


"Bagaimanapun berdasarkan sentimen di lapangan, kami dalam GPS telah membuktikan rekod prestasi kami dengan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post