KPDNHEP pantau penyeludupan barangan bersubsidi di Serikin

Sekitar lawatan kerja pegawai KPDNHEP Sarawak ke sempadan Malaysia-Indonesia di Serikin di sini hari ini. Gambar FB KPDNHEP Sarawak 

KUCHING —Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak memandang serius aktiviti penyeludupan barangan kawalan bersubsidi di kawasan Serikin di sini, menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof.


Beliau berkata kegiatan itu berlaku susulan pembukaan semula Pos Kawalan Sempadan Serikin yang sekali gus merancakkan kembali aktiviti perdagangan antara Malaysia dengan Indonesia. 



Azman berkata antara barangan kawalan bersubsidi yang diseludup ke negara jiran melalui sempadan Serikin ialah gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, petrol, diesel, gula dan tepung gandum.


"KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barangan kawalan bersubsidi kerana ia boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negara.


“Barangan itu sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia, namun diseleweng pihak tidak bertanggungjawab ke negara jiran demi mengaut keuntungan lumayan," katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja di sempadan Malaysia-Indonesia di Serikin di sini hari ini.


Azman berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan kementerian itu, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan bersubsidi melibatkan nilai rampasan berjumlah RM69.74 juta berjaya dipatahkan.


"Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dengan mengadakan operasi bersepadu dan tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.


"Orang ramai juga disaran bersama-sama membantu kerajaan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berhubung isu penyelewengan barangan kawalan bersubsidi kepada pihak KPDNHEP," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post