Tolak perbezaan peribadi, pastikan perpaduan dan kestabilan kerajaan - Abg Jo

Abang Johari ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Baru Daro hari ini. Gambar kredit FB Parlimen Igan

DARO -- Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg meminta ahli gabungan politik itu supaya sentiasa menekankan aspek perpaduan yang kukuh demi memastikan kestabilan kerajaan.


Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut mengajak semua ahli gabungan tersebut agar menolak perbezaan peribadi antara mereka demi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi meneruskan perjuangan untuk masa depan rakyat Sarawak.



Mengibaratkan pengumuman PRU15 baru-baru ini sebagai ‘beduk untuk memulakan perjuangan memenangi pilihan raya,’ beliau berkata dalam PBB, seorang wakil rakyat akan diberi peluang untuk berkhidmat sekurang-kurangnya dua penggal.


"Apabila beduk dah berbunyi, tauk retilah kita, gago lah kita (Apabila beduk sudah berbunyi, faham-fahamlah kita, sibuklah kita). Siapa sahaja yang diletakkan oleh GPS sebagai calon di kawasan ini (Igan), berilah sokongan yang hebat kepada beliau kerana beliau membawa bendera GPS.


“Bagi kita di dalam GPS, kita jaga perpaduan parti kita," kata Premier Sarawak itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Baru Daro hari ini yang turut dihadir penyandang kerusi Parlimen Igan iaitu Ahmad Johnie Zawawi.



Pengarah Pilihan Raya Parlimen GPS Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula meminta penyokong gabungan itu agar menjadikan Bahagian Betong, yang mempunyai empat kerusi Parlimen, sebagai kubu kuat GPS.


Beliau berkata dalam usaha mencapai matlamat itu, mereka perlu meyakinkan individu yang mengundi buat kali pertama dan pengundi atas pagar untuk menyokong GPS, yang sudah mengumumkan akan bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam PRU15.


Empat kerusi Parlimen yang terletak di Bahagian Betong ialah Batang Lupar, Lubok Antu, Betong dan Saratok.


“Undi untuk semua calon GPS di Bahagian Betong adalah undi ke arah masa depan yang lebih progresif dan makmur,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil bagi kursus anyaman dan jahitan di RH Nelson Rentap Beduru, Spaoh kira-kira 270 kilometer di timur Kuching.


Pada pilihan raya umum 2018, GPS yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi kerusi Parlimen Betong serta Batang Lupar namun kalah di Lubok Antu dan Saratok.


Uggah, yang juga Timbalan Presiden PBB dan Timbalan Premier Sarawak, berkata memandangkan Betong bakal memiliki sebuah lapangan terbang tahun depan, akses ke kawasan itu untuk pengunjung luar adalah lebih baik serta akan membuka peluang kepada penduduk tempatan memasarkan barangan serta cenderamata mereka.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post