Feri bawa lebih 500 penumpang dan kru terkandas akibat air surut

Tangkap layar menunjukkan feri berkenaan terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang tadi.

ALOR SETAR—Feri yang membawa lebih 500 penumpang dan kru dalam perjalanan dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi ke Terminal Jeti Kuala Kedah terkandas apabila ia tersangkut di beting lumpur, dipercayai akibat air laut surut yang berlaku di alur pelayaran Kuala Kedah. 


Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapt Baharin Baharom berkata feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 1 tengah hari itu membawa 545 penumpang bersama lapan kru.


“Feri berkenaan terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang. Buat masa ini pihak kami sedang menunggu laporan daripada kapten feri kerana ketika kejadian air laut adalah pada paras 1.7 meter, keadaan masih selamat untuk pelayaran.


“Tinjauan awal mendapati banyak faktor yang boleh menyebabkan feri berkenaan terkandas, antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan feri telah dihalang oleh kerja-kerja pergerakan laut ketika itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.55 petang.


“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kes feri terkandas berhampiran Jeti Kuala Kedah dan telah mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja ke lokasi kejadian.


“Feri yang membawa lebih 500 penumpang dan kru itu tersangkut di beting lumpur akibat air surut. Buat masa ini anggota bomba bersama Jabatan Laut dan nelayan tempatan sedang memantau keadaan dan berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.


Beliau berkata air pasang semula dijangkakan bermula pada pukul 7 malam dan air pasang penuh pula dijangkakan berlaku pada pukul 11.30 malam nanti.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post