PRU15: Anwar sah bertanding di Tambun

Anwar semasa Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh malam tadi.

IPOH—Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan yang beliau akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Anwar dalam ucapan pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di sini malam ini berkata beliau memilih kawasan yang bukannya mudah untuk mendapatkan majoriti besar, selain rasa bertanggungjawab untuk melonjakkan gerakan PH di negeri-negeri utara.


“Saya yakin untuk menang dan merampas Tambun dan Perak. Ini kesediaan saya,” katanya.


Bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata Perak akan diangkat menjadi negeri yang maju, terutamanya dari segi ekonomi seperti Pulau Pinang dan Selangor, jika PH diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri itu.


Kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


Dalam sidang media selepas itu, ditanya jika ada parti selain dalam komponen PH akan menggunakan logo gabungan itu, Anwar berkata perkara itu bergantung kepada pertimbangan parti berkenaan.


“Terserah pada mereka, kami tawarkan untuk gunakan logo PH,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, mengumumkan Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri blok politik tersebut.


Beliau berkata pengalaman dan perjuangan Anwar dalam dunia politik, harus diangkat dan diiktiraf sebagai calon perdana menteri.


Dalam pada itu, Saifudin turut mengumumkan bahawa PH telah selesai memuktamadkan rundingan kerusi-kerusi Parlimen bagi komponen parti dalam menghadapi PRU15 ini, manakala satu keputusan akan diumumkan dalam masa tiga hari berkaitan parti atau blok di luar komponen mereka.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post