Pisau dibaling remaja perempuan tertusuk salur darah utama arteri adiknya

Remaja perempuan itu direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Gambar kredit Sinar harian

JOHOR BAHRU—Pisau yang dibaling seorang remaja perempuan kepada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh di Iskandar Puteri semalam, disahkan terkena salur darah utama arteri mangsa.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata tindakan remaja perempuan berusia 18 tahun itu telah menyebabkan darah mangsa yang berusia 16 tahun itu, keluar dengan banyak menyebabkan akhirnya dia rebah.


Beliau berkata maklumat itu diperolehi hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.


“Tusukan pisau terkena salur darah utama arteri, menyebabkan darah banyak keluar dan (mangsa) rebah dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.


Semalam, polis menahan remaja perempuan itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilaporkan sebagai berkata tragedi malang itu, dipercayai berpunca daripada pergaduhan kedua-beradik itu yang berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Remaja perempuan itu direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post