Polis berkas 5 lelaki ahli sindiket along

Kereta yang dirampas dalam serbuan semalam. Gambar kredit Polis Johor

ISKANDAR PUTERI— Lima lelaki dipercayai ahli sindiket along yang melakukan ugutan jenayah dan khianat terhadap mangsa yang gagal membayar pinjaman, ditahan dalam beberapa siri serbuan di sini, semalam. 


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 23 hingga 41 tahun itu, ditahan hasil risikan dan maklumat orang awam, sekitar 9.30 pagi hingga 3 petang. 


Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu telah bergiat aktif sejak tiga tahun lepas dan dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 18 kes kejadian simbah cat dan ugutan jenayah di bandar  raya berkenaan dan daerah Kluang serta satu kes di Bercham, Perak. 


"Modus operandi mereka adalah mengiklankan tawaran pinjaman menerusi laman sosial Facebook, dan kadar pinjaman yang dibenarkan dari RM500 hingga RM30,000 dengan mengenakan faedah sebanyak lima hingga 20 peratus. 


"Bayaran yang perlu dibuat oleh peminjam adalah secara mingguan dan sekiranya gagal, sindiket terbabit akan membuat ugutan bagi tujuan menakutkan, seterusnya melakukan perbuatan khianat termasuk kepada keluarga peminjam dengan mengenakan kadar faedar yang lebih tinggi," katanya menerusi kenyataan, hari ini. 


Kamarul Zaman berkata turut dirampas dalam serbuan itu adalah 12 telefon bimbit pelbagai jenis berserta kad sim, enam keping kad pengeluaran wang automatik (ATM), sekeping cek, 46 resit transaksi, satu buku catatan yang mengandungi senarai peminjam dan sebuah komputer serta empat kereta. 


"Kesemua tangkapan akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan. 


"Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," kata beliau. 


Beliau menegaskan polis Johor tidak akan berkompromi dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam dan akan menggunakan segala undang-undang yang diperuntukkan. 


Dalam satu kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan selepas serbuan ke atas sebuah apartment di Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru, tiga hari lepas.


Beliau berkata lelaki warga asing berusia 26 tahun itu ditahan, dipercayai menjadi ahli sindiket tawaran kerja tidak wujud di kediaman berkenaan yang difahamkan menjadi pusat panggilan menawarkan tawaran kerja berkenaan menerusi dalam talian.


“Semasa proses awal siasatan dijalankan, pasukan serbuan menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dirinya rakan kepada lelaki asing yang ditahan dan mahu berjumpa pihak polis di sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru.


“Dalam perjumpaan tersebut, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu telah menawarkan wang tunai sebanyak RM90,000 sebagai suapan dan dorongan untuk membebaskan rakannya yang ditahan,” kata beliau.


Beliau berkata walaupun pihak polis memberi amaran supaya tidak berbuat demikian, lelaki berkenaan terus mendesak mengakibatkan akhirnya lelaki itu ditahan dan wang tunai tersebut dirampas.


Kes kemudiannya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post