Pegawai khas Datuk direman bantu siasatan perolehan kenderaan

Seorang pegawai khas kepada ketua jabatan sebuah agensi kerajaan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa berhubung perolehan empat kenderaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini. Gambar kredit SPRM

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan pegawai khas kepada seorang ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar 'Datuk' yang sebelum ini ditahan kerana disyaki menerima suapan berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.


Sumber SPRM berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.


Lelaki itu kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Okt setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM  di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.


 Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan lelaki itu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Semalam SPRM dilapor menahan ketua jabatan berkenaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa berhubung perolehan empat kenderaan berjumlah lebih RM290,000 untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post