Peruntukan RM372.3 bilion dalam Bajet 2023 disasarkan untuk pembaharuan struktur, pertumbuhan

Ismail Sabri (dua, kanan) bersama Tengku Zafrul (dua, kiri)  ketika menuju ke Dewan Rakyat sebelum pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen hari ini. Gambar kredit MoF 


KUALA LUMPUR— Meningkatkan komitmen dalam persekitaran pertumbuhan hasil yang terhad menunjukkan kerajaan telah berjaya mencapai keseimbangan antara memastikan perkembangan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan global pada 2023 serta pada masa yang sama perlu menangani impak COVID-19.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan sejumlah RM372.3 bilion akan diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding peruntukan RM332.1 bilion tahun lepas dalam bajet sebelumnya.


“Dengan tekad: “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama”, bajet ini akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan," katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di parlimen di sini hari ini selepas banyak desas-desus menyatakan pembentangan ini  tidak akan diadakan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Beliau berkata dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang yang mana pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.


Tengku Zafrul berkata ekonomi negara terus mengukuh pada lima peratus pada suku pertama tahun ini dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua, yang merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.


“Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-Allah, ekonomi negara dijangka berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 – 6.3 peratus.


“Dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, kerajaan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kepada antara 6.5 hingga 7 peratus,” katanya.


Bagi tahun 2023, Malaysia dijangka merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana di antara 4.0 hingga 5.0 peratus, katanya.


Walaupun Bajet 2023 ditingkatkan perbelanjaan sehingga RM372 bilion iaitu bajet terbesar dengan dasar fiskal yang mengembang, Tengku Zafrul berkata sebagai kerajaan bertanggungjawab, ia akan diimbangi dengan komitmen untuk melaksanakan konsolidasi fiskal bagi memastikan kemampanan kewangan negara.


Katanya dengan jangkaan kutipan hasil RM272.6 bilion, defisit fiskal 2023 diunjur berkurangan kepada 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.8 peratus pada 2022.


“Berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurangan kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK.


“Kerajaan akan terus mempergiat usaha menambah baik kedudukan kewangan dalam tempoh jangka sederhana bagi mencapai sasaran deficit 3.5 peratus daripada KDNK seperti yang disasarkan dalam  Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” jelas beliau.


Menurut Tengku Zafrul, daripada jumlah peruntukan Bajet 2023, Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini, iaitu antara peningkatan terbesar di kalangan kementerian.


Selain itu, Bajet 2023 juga menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion, terbesar pernah disediakan dan meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion.


Daripada jumlah itu, RM16.5 bilion disediakan bagi sektor  pengangkutan melalui projek infrastruktur terutama Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Keretapi berkembar Gemas-Johor Bharu, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link dan Central Spine Road.


“Insya Allah jajaran Pan Borneo negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo Sabah pula akan siap menjelang 2024,” katanya.


Tengku Zafrul berkata bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.


Tambahnya projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 melibatkan Stesen Kampung Batu ke Putrajaya Central telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023 untuk manfaat penduduk Lembah Klang.


Berhubung projek MRT3 pula, katanya ia merupakan komitmen kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer.

MRT 3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 manakala fasa 2 pada tahun 2030.


"Projek ini melibatkan kos RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion," kata Tengku Zafrul.


Sementara itu, bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi serta menjana peluang pekerjaan profesional, pendekatan strategik akan diambil melalui pewujudan dana pelaburan lebih RM1 bilion. 


“Dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, kerajaan komited untuk mencapai tangga 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing menjelang 2025 dan komitmen ini memerlukan usahasama awam - swasta yang akan diterajui melalui pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH),” jelasnya.


Menyentuh mengenai ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian global, menteri kewangan berkata kerajaan akan menyediakan insentif penempatan semula bagi menarik pelabur sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terjejas untuk memindahkan operasi ke Malaysia melalui pelanjutan galakan cukai sedia ada dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024.


Bagi menggalakkan pembangunan farmaseutikal, insentif cukai pendapatan bagi pengeluar produk farmaseutikal tempatan dilanjutkan sehingga akhir 2025.


Manakala bagi menarik syarikat aeroangkasa baharu dan menggalakkan perkembangan syarikat sedia ada, insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2025.


Dalam pada itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terus memainkan peranan sebagai nadi penggerak ekonomi negara dan komited untuk membuat pelaburan sehingga RM50 bilion bagi tahun 2023.


Khazanah Nasional Bhd pula akan melabur RM1 bilion di bawah dana impak.


“Perolehan kerajaan memainkan peranan penting sebagai pengganda tinggi kepada ekonomi. Untuk tahun 2023, kerajaan akan menyediakan  RM3.7 bilion bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana di seluruh Malaysia.


“Pada masa sama bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, kerajaan sedang melaksanakan dua inisiatif iaitu E-Invois dan Nombor Pengenalan Cukai (TIN),” jelasnya.  


Selain itu, bagi membolehkan Malaysia meluaskan asas cukai di samping terus kompetitif dalam menarik pelaburan langsung asing, kerajaan akan memperkenalkan kadar cukai efektif minimum di peringkat global.


Mengenai sektor komoditi pula, kerajaan akan memperuntukkan RM2.6 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi, dan levi pekerja asing pelbagai peringkat disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2023.


Bagi 2023, Digital Nasional Bhd (DNB) merancang untuk melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion supaya Keluarga Malaysia bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah. 


Dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau, kerajaan bercadang melanjutkan tempoh permohonan insentif elaun cukai pelaburan hijau (GITA) dan pengecualian cukai pendapatan hijau (GITE) hingga 31 Dis 2025. 


"Sebagai pinjaman mudah, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan RM1 bilion di bawah dana pembiayaan teknologi tinggi dan hijau bagi meyokong syarikat pemula teknologi lestari yang inovatif, dan RM1 bilion di bawah dana pembiayaan peralihan karbon rendah untuk membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerap amalan rendah karbon," katanya.


Selain itu, nilai jaminan skim pembiayaan teknologi hijau (GTFS) akan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga 2025, dengan skop pembiayaan diperluaskan kepada sektor kenderaan elektrik (EV) dengan had jaminan hingga 60 peratus dan pembiayaan sektor sisa akan ditingkatkan tahap jaminan kepada 80 peratus.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post