Kerajaan tanggung kos pengedaran barang asas, subsidi My50 diteruskan

Lebih RM55 bilion diperuntukkan untuk subsidi, bantuan dan insentif meminimumkan kos sara hidup. Gambar hiasan kredit Unsplash

KUALA LUMPUR—Peruntukan lebih RM55 bilion disediakan menerusi Bajet 2023 khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barangan keperluan asas untuk memastikan keperluan itu sampai ke penduduk luar bandar pada harga berpatutan.


Menurutnya, manfaat program itu akan diperluaskan ke 23 kawasan baharu termasuk Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu, Sabah.


“Melihatkan impak positif program Jualan Murah Keluarga Malaysia kepada isi rumah B40, kerajaan akan meneruskan program ini di seluruh negara meliputi 600 Dewan Undangan Negeri (DUN), 13 Parlimen Wilayah Persekutuan serta universiti awam dengan peruntukan RM100 juta,” katanya.


Sementara itu, Tengku Zafrul berkata subsidi kos perkhidmatan dan capaian pengangkutan awam di seluruh negara juga diterusnya antaranya peruntukan RM180 juta bagi menambah baik capaian bas awam untuk warga Melaka, Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).


Kerajaan juga, katanya akan menggantikan 18 bas henti-henti kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk manfaat penduduk Kedah.


Beliau berkata subsidi perkhidmatan pengangkutan udara juga diteruskan dengan peruntukan RM209 juta yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar khusus di Sabah dan Sarawak.


“Selain itu, kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak dengan membina wheelchair ramp untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASWings,” katanya.


Tengku Zafrul berkata inisiatif pas bulanan My50 juga diteruskan pada tahun depan yang memberi manfaatkan kepada hampir 180,000 pengguna dengan subsidi sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.


Sebagai penambahbaikan perkhidmatan feri antara Pengkalan Kubor, Kelantan ke Takbai, Narathiwat Thailand, beliau berkata sejumlah RM9 juta disediakan untuk menggantikan feri sedia ada berusia lebih 34 tahun yang memberi manfaat kepada bagi 30,000 penduduk di Tumpat.


“Kerajaan juga bersetuju pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah hak milik atau pelupusan teksi diperluaskan kepada teksi eksekutif dan teksi lapangan terbang,” katanya.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post