Bajet 2023: Sabah, Sarawak masing-masing dapat RM6.3 bilion, RM5.4 bilion

Peruntukan pembangunan negara, Bajet 2023, Sabah dan Sarawak masing-masing dapat RM6.3 bilion, RM5.4 bilion
Peruntukan itu antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion dalam Bajet 2023.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan itu antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan. 


Melalui bajet bertema 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' itu, beliau berkata lima wilayah koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta pada tahun ini.


"Tahun depan, program utama yang dilaksanakan termasuklah Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta dan Program Pembangunan Modal Insan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40 dengan peruntukan RM63 juta.


"Turut dilaksanakan projek Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan RM80 juta, projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dengan peruntukan RM250 juta dan projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta,” katanya.


Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, Tengku Zafrul berkata pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini juga akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.


Beliau berkata pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan oleh itu, kerajaan berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan  pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ Delapan itu.


"Tahun depan, RM25 juta disediakan untuk menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan,” katanya.


Tengku Zafrul juga berkata kerajaan merancang untuk membangunkan bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam (Kedah), Kalabakan (Sabah) serta Tebedu dan Ba'kelalan (Sarawak) dengan kos RM150 juta. 


"Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris, Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu, Sarawak ke sempadan Indonesia," katanya.


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.