Notification

×

Iklan

Iklan

Bajet 2023: Perbelanjaan pembangunan RM95 bilion, terbesar pernah disediakan

| Oktober 07, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-07T11:57:35Z
Jajaran Pan Borneo Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024 untuk manfaat rakyat Sarawak. Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion iaitu yang terbesar pernah disediakan dan meningkat dengan ketara berbanding masing-masing RM75.6 bilion dan RM64 bilion bagi 2022 dan 2021.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata sungguhpun kerajaan berdepan kekangan fiskal, pihaknya percaya pembangunan infrastruktur akan menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang antara wilayah.



Justeru, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM16.5 bilion disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutama Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Lebuhraya Central Spine Road.


"Insya-Allah, jajaran Pan Borneo Negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo Negeri Sabah pula akan siap menjelang 2024,” katanya.



Beliau berkata bagi meningkatkan kualiti penyampaian dan menyediakan persekitaran yang kondusif,  kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.



Katanya projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 yang kini melibatkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral juga telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari tahun depan untuk manfaat penduduk Lembah Klang.


"Berhubung projek MRT3 pula, ia merupakan komitmen kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer. MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada 2028 manakala Fasa 2 pada 2030 melibatkan kos RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion,” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update