Penerima VSS Utusan Melayu berhak dapat bayaran penyesaian


KUALA LUMPUR-- Bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) empat tahun lalu berhak mendapatkan baki bayaran penyelesaian hasil jualan hartanah milik syarikat dan anak syarikatnya.


Hakim MahkamahTinggi, Nadzarin Wok Nordin, hari ini, memutuskan bahawa penerima VSS dan anak-anak syarikatnya adalah benefisiari harta amanah dan bukan pemiutang UMMB.


“Berkaitan dengan  pelaksanaan VSS, UMMB, anak syarikat dan syarikat berkaitannya boleh diklasifikasikan sebagi entiti ekonomi tunggal.


“Mahkamah berpendapat bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak mendapat manfaat daripada harta-harta amanah,” kata hakim itu.


Beliau juga mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak syarikat - Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd., U Print Sdn. Bhd., Utusan Land Sdn. Bhd., Juasa Holdings Sdn. Bhd. dan Mediamony Sdn. Bhd., adalah harta amanah.


Dalam penghakimannya, Nadzarin berkata hartanah berkenaan termasuk empat harta tambahan iaitu bangunan-bangunan di Jalan Chan Sow Lin dan kilang percetakan di Bangi dekat sini.


Hartanah tersebut terletak di  di Lot 187 dan 268, 46M, Seksyen 92, Jalan 5 Off Jalan Chan Sow Lin, No. 44, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin, Lot 285, Jalan 5, Seksyen 92 Jalan Chan Sow Lin dan Lot 6, 3 Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S10, Bangi.


Katanya, penerima VSS sebagai benefisiari, (selepas ditolak perkara-perkara seperti cukai keuntungan harta tanah, penilaian, yuran pelikuidasi, yuran guaman dan pelbagai bayaran) akan menerima bayaran penyelesaian yang akan dimasukkan ke dalam akaun firma guaman yang dilantik sebagai pemegang amanah VSS.


Firma guaman, Lavinia, Dell Akbar, Tee & Partners serta Tetuan Azmin dinamakan sebagai pemegang amanah  kakitangan VSS.


Hakim membuat keputusan tersebut dalam saman pemula yang difailkan oleh UHY Advisory sebagai pelikuidasi yang mewakili UMMB (Penggulungan Sukarela Pemiutang-CVL) sebagai plaintif terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS).


Menurut penghakiman, hanya lapan kali pembayaran dibuat oleh plaintif (UMMB) kepada bekas kakitangan sebelum CVL pada 7 Okt 2019 manakala masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM59,403,367.97 perlu dijelaskan kepada semua penerima VSS. 


Hakim seterusnya berkata sebelum membuat keputusan, mahkamah telah meneliti terma dan syarat VSS yang menyatakan terdapat sejumlah 12 pembayaran dalam tempoh 12 bulan kepada pekerja VSS dan sepatutnya dibuat selepas semua potongan berkanun, hutang belum dijelaskan dan proses rasmi lain selesai.


“Mahkamah juga merujuk surat bertarikh 8 Okt 2019 daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan (ketika itu), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang menyatakan, persetujuan kedua pihak dicapai bahawa pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Kumpulan Utusan,” katanya.


Sementara itu, peguam Abu Daud Abd Rahim, mewakili defendan-defendan, ketika dihubungi, mengesahkan penghakiman tersebut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post