Pearly-Thinaah cipta sejarah beregu wanita pertama Juara Terbuka Perancis

Pearly-Thinaah cipta sejarah wanita, Pearly-Thinaah Juara Terbuka Perancis, kejohanan acara Jelajah Dunia Super 750 BWF

Pearly (kiri) dan Thinaah selepas muncul juara Terbuka Perancis. Gambar kredit FB BAM

KUALA LUMPUR—Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah dalam menamatkan kemarau kejuaraan selepas mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertine di Paris, malam tadi.


Kejayaan menumbangkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 di pentas final itu, menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis, lapor Bernama


Kemenangan itu ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.


Aksi yang berlanjutan hingga 72 minit itu ialah pertemuan pertama kedua-dua pasangan.


Pada set pertama, Pearly-Thinaah yang bermula perlahan berjaya bangkit dengan menampilkan aksi berkeyakinan untuk terus mendahului perlawanan hingga 18-10, namun berdepan detik cemas apabila dikejar 20-19 sebelum berjaya meraih mata kemenangan.


Momentum positif itu gagal diteruskan dalam set kedua meskipun mereka berusaha gigih menandingi kehebatan Matsumoto-Nagahara yang lebih ‘ghairah’ dan cemerlang memenangi setiap mata sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.


Selepas tunduk di set kedua, Pearly-Thinaah bermula perlahan di set ketiga apabila ketinggalan 2-6, namun bangkit tampil lebih cekap, bermotivasi serta kurang melakukan kesilapan untuk mendominasi perlawanan bermula di kedudukan 8-7 sehingga menoktahkan kemenangan dengan kelebihan enam mata.


Sebelum ini, bekas beregu wanita negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara Terbuka Perancis pada 2008.


Terbuka Perancis ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 750 BWF, kejohanan tahap tiga yang menawarkan hadiah bernilai US$49,950 (kira-kira RM235,000) bagi pemenang acara beregu dan US$23,625 (kira-kira RM111,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.


Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark muncul juara perseorangan lelaki selepas mengatasi rakan senegara Rasmus Gemke 21-14, 21-15.


LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.