Nelayan dikhuatiri lemas jatuh laut
ASAJAYA--Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari perahu yang dinaiki ketika keluar menangkap ikan di Kampung Semera di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Faddrul Razie Zaini,30, bersama lima lagi rakannya turun ke laut sekitar jam 5 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 6.29 pagi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Asajaya ke lokasi kejadian.
"Kejadian dipercayai berlaku setelah dayung yang dipegang mangsa telah patah seterusnya menyebabkan mangsa jatuh ke laut.
"Rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,bimbang akan keselamatan mangsa,rakannya memaklum perkara itu kepada pihak Bomba bagi mendapatkan bantuan mencari mangsa yang hilang.
"Keadaan cuaca baik semasa kejadian dilaporkan berlaku, jarak lokasi kejadian dengan pantai adalah anggaran dua Batu nautika.
"Pihak Bomba ke lokasi pengkalan jeti Kampung Semera serta ke rumah mangsa hilang bagi mendapatkan serta mengumpulkan maklumat.
"Tindakan pasukan penyelamat telah menurunkan bot untuk mengambil rakan mangsa yang berusaha menyelamatkan mangsa hilang tadi dibawa ke pengkalan jeti.
"Usaha mencari mangsa juga dibuat dengan bantuan nelayan tempatan serta penduduk kampung disertai oleh ahli keluarga mangsa sendiri," katanya.
Katanya, setakat ini mangsa masih belum dijumpai.