Masuk bilik pelanggan, pengusaha hotel dipukul, disimbah cat

Tangkap layar video tular pengusaha hotel dipukul dan disimbah cat.

JOHOR BAHRU -- Seorang pengusaha hotel dipukul dan disimbah cat selepas disyaki memasuki bilik hotel pelanggan tanpa kebenaran di sebuah hotel di sekitar Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa lelaki warga emas berusia 62 tahun itu pada pukul 3.30 pagi, semalam.


Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam bersama Balai Polis Desa Cemerlang telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun di Jalan Tanjong, Taman Desa Cemerlang pada pukul 11.30 malam tadi.


 “Susulan itu, dua lagi lelaki tempatan berumur lingkungan 31 hingga 55 tahun ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai kira-kira pukul 3.03 pagi ini.


Hasil semakan mendapati salah seorang daripada tiga individu yang ditahan itu mempunyai satu rekod jenayah, manakala dua lagi tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.


Menurut Mohd Sohaimi mangsa yang juga lelaki tempatan, hanya mengalami cedera ringan.


Terdahulu, polis mengesan sebuah video tular berdurasi satu minit 44 saat melalui aplikasi WhatsApp dengan memaparkan seorang lelaki tempatan dipukul dan disimbah cat.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post