1,300 pelajar tajaan MARA lanjut pengajian ke luar negara

Mahdzir (dua, kanan) melihat pameran yang diadakan sempena Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia Felcra hari ini.

BANTING— Seramai 1,300 pelajar cemerlang tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Mahdzir berkata untuk itu agensi berkenaan dianggarkan membelanjakan antara RM600,000 dan RM1.2 juta bagi tajaan seorang pelajar. 


“Mereka adalah anak-anak dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang cemerlang dan dihantar belajar ke luar negara kerana kita nak bagi mereka peluang seterusnya kembali memberi sumbangan kepada negara sama ada menjadi jurutera, peguam, doktor mahupun  arkitek,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia Felcra di Kolej MARA Banting hari ini.


Dalam pada itu, Mahdzir berkata penganjuran mini karnival yang dilaksanakan oleh Felcra di seluruh negara itu, giat dijalankan di seluruh negara sebagai usaha agensi itu menyampaikan pelbagai perkhidmatan seperti pendidikan, kesihatan kepada masyarakat luar bandar.


 -- BERNAMA

Next Post Previous Post