Lima penjawat awam antara 10 ditahan miliki dadah di pusat hiburan


KUALA LUMPUR— Lima penjawat awam antara 10 individu yang ditahan kerana memiliki dadah dalam Ops Noda di sebuah premis hiburan di Jalan Puchong, di sini Jumaat lepas.


Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata ketika serbuan pada 11.45 malam itu, lima penjawat awam terbabit berada di dalam sebuah bilik bersama dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 0.87 gram, pil erimin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram), menurut Bernama.


"Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi positif dadah jenis ketamin," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya dadah dianggarkan bernilai RM1,800 itu boleh dibekalkan kepada lima hingga 10 pengguna dadah dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan bahan terlarang tersebut. 


Amihizam berkata turut ditahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis, tiga lelaki Bangladesh dan seorang pelayan wanita warga Vietnam.


Katanya kesemua mereka direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959 /63.

Next Post Previous Post