Isu presiden PBM diselesai secara dalaman, tegas Zuraida

Zuraida (duduk tiga, kanan) berkata, pertikaian mengenai berhubung presiden parti PBM akan diselesaikan sebelum penamaan calon pada 5 Nov ini.

KUALA LUMPUR—Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini bertegas bahawa Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menyelesaikan isu parti itu secara dalaman sebelum tiba hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 Nov ini, dan akan bertanding secara solo.


Dalam persidangan media hari ini, ketika ditanya berkali-kali berhubung pertikaian mengenai siapa sebenarnya presiden parti, antara beliau dan Datuk Larry Sng Wei Shien, beliau menjawab perkara itu akan diselesaikan secara dalaman antara mereka berdua.


Ditanya siapa yang perlu dihubungi untuk sebarang kenyataan daripada presiden parti yang berkaitan dengan PRU15, beliau menjawab: “Oleh kerana saya berada di sini, jadi sayalah..” lapor Bernama.


Media hari ini melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan Sng masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu dan menurut agensi itu jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.


Semalam Sng menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli Majlis Tertinggi PBM selaras dengan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) atas dakwaan penglibatan berterusan mereka dalam menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.


Zuraida turut mengumumkan bahawa parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan dalam menghadapi PRU15, dan akan bertanding menggunakan logo sendiri.


“PBM akan mempertahankan enam kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri Malim Nawar di Perak pada PRU15,” katanya dalam persidangan media selepas mesyuarat jawatankuasa pilihan raya bagi persediaan PRU15 di bilik gerakan, Pusat Daerah Mengundi Bukit Antarabangsa dekat sini hari ini. 


Enam kerusi Parlimen yang disandang PBM kini ialah Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong), Segamat (Datuk Seri R.Santhara Kumar), Julau (Sng), Lahad Datu (Datuk Mohamaddin Ketapi) dan Kuala Langat (Datuk Dr Xavier Jayakumar) manakala kerusi DUN Malim Nawar disandang Leong Cheok Keng. 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRU15 pada 19 Nov dengan pengundian awal pada 15 Nov dan hari penamaan calon pada 5 Nov. 

Next Post Previous Post