Lelaki disyaki seleweng diesel bersubsidi ditahan



SIBU-- Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sibu menahan seorang lelaki warga tempatan dalam Op Kontraban semalam kerana disyaki menyeleweng diesel bersubsidi.


Lelaki berumur 41 tahun itu yang memandu sebuah van dengan muatan 500 liter diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki khas di bahagian belakang kenderaannya ditahan di Jalan Chin Hua pada kira-kira 7 pagi.


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata suspek didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


“Nilai keseluruhan rampasan yang dibuat ialah RM51,075. Suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak KPDNHEP Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post