Kontraktor Pan Borneo kini guna 90 peratus kapasiti tenaga kerja - Fadillah

Fadillah bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Prestasi Projek dan Isu-Isu Berbangkit Projek Lebuhraya Pan Borneo di Kuching hari ini.

KUCHING— Kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo kini bekerja dengan kapasiti 90 peratus tenaga kerja, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Katanya jumlah itu lebih tinggi berbanding sewaktu pandemik COVID-19 apabila ramai tenaga kerja yang terlibat dengan projek lebuh raya berkenaan, pulang ke negara asal mereka.



“Mengikut laporan yang kita terima, setakat ini pekerja dari luar negara sudah mula datang kembali (untuk bekerja).


“Kadang-kadang proses kelulusan pekerja itu mengambil masa yang lama tetapi menurut laporan kita jumlah pekerja kini meningkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat prestasi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini.



Fadillah berkata Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo kini sudah mencapai 88 peratus siap dan beliau menjangkakan dua lagi seksyen lebuh raya berkenaan akan dibuka bulan depan.


Sementara itu, Fadillah berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan isu berbangkit mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.


Jelasnya jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak konsultan.


“Mereka ini akan menangani semua isu berbangkit mengenai projek terutamanya di kawasan yang ada masalah,” katanya.


Fasa Satu projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri melibatkan kos RM16.117 bilion.


--BERNAMA

Next Post Previous Post