Sektor swasta Sarawak perlu rebut peluang perniagaan di Kazakhstan - Awang Tengah

Awang Tengah berkata, hanya beberapa syarikat di Sarawak yang mengeksport produk seperti produk kayu, bahan binaan dan perabot ke Kazakhstan dalam skala yang kecil.

KUCHING— Hubungan baik dan kukuh antara Malaysia-Kazakhstan perlu dijadikan peluang oleh sektor swasta di Sarawak untuk membina perniagaan di kawasan ekonomi Asia tengah.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini hanya beberapa syarikat di Sarawak yang mengeksport produk seperti produk kayu, bahan binaan dan perabot ke Kazakhstan dalam skala yang kecil.


“Sektor perkhidmatan menawarkan banyak peluang. Industri pelancongan di Kazakhstan benar-benar berkembang pesat sekarang dan makanan (perniagaan) halal mereka merupakan pasaran yang besar, (pada masa ini) berpotensi luas. Jadi peluang ini mesti diteliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Peluang Perniagaan Kazakhstan di sini, hari ini.


Selain itu, kelebihan Kazakhstan dalam teknologi pertanian juga boleh digunakan untuk memudahkan rancangan Sarawak menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.


Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, forum itu adalah platform untuk ahli-ahli perniagaan Sarawak lebih memahami peluang yang ada di Kazakhstan.


"Jika terdapat jurang maklumat yang dihadapi oleh sektor swasta kita (sebelum ini) untuk ke negara tersebut, kini sekurang-kurangnya melalui forum ini mereka akan mendapat maklumat mengenai peluang yang ada di sana," katanya.


Ketika ditanya tentang kemungkinan Sarawak menubuhkan pejabat perdagangan di Kazakhstan sama seperti yang ditubuhkan di Singapura, beliau berkata buat masa ini Sarawak akan menggunakan Kedutaan Besar Malaysia di republik itu.


Sementara itu, Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata kerajaan republik itu sedang berusaha ke arah menambah baik pelaburan dan iklim perniagaan bagi membuka peluang yang lebih besar kepada pelabur asing.


Beliau berkata, pengangkutan kereta api dan udara telah dipertingkatkan secara berterusan dan perkembangan terkini ialah rancangan AirAsia untuk melancarkan penerbangan terus dari Malaysia bagi memudahkan lagi perjalanan antara kedua-dua negara.


“Rakyat Malaysia tidak memerlukan apa-apa visa (untuk mengunjungi Kazakhstan). Apa yang mereka perlukan hanyalah pasport, tiket penerbangan dan senyuman,” katanya.


Menurutnya, produk pertanian Kazakhstan juga mematuhi piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan republik itu bersedia untuk berkongsi pengetahuannya bagi membantu Sarawak menjadi pengeksport makanan.


“Kami boleh membantu matlamat Sarawak untuk menjadi pengeksport bersih makanan kerana Kazakhstan telah melakukannya selama berabad-abad lamanya dan ia telah menjadi sebahagian daripada budaya kami,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post