Jurutera JKR didakwa lagi terima suapan

Izwan Mahsuri (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 dua tahun lalu. Gambar Kredit Kosmo


SHAH ALAM— Seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 berhubung projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia, dua tahun lepas.


Izwan Mahsuri, 39, sebagai Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR didakwa menerima untuk dirinya RM20,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang dalam talian daripada akaun milik Uji Teguh Resources ke akaun milik SBR Consultant yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Berhad cawangan Selayang, Gombak pada 14 Dis 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan RM35,000 yang ditawarkan kepadanya bagi kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur termasuk syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.


Beliau membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di mana Izwan menghadapi lima pertuduhan rasuah melibatkan cadangan pelantikan sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek jalan di Gua Musang, Kelantan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala peguam Hamdan Hamzah mewakili tertuduh.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post