'Geng Fuad' Kampung Sebandi aktif curi motosikal tumpas

Antara motosikal yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Sebandi. Gambar kredit PDRM

KOTA SAMARAHAN-- Sekumpulan lelaki dikenali sebagai 'Geng Fuad' yang disyaki aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sini berjaya ditumpaskan.


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata, kejayaan itu susulan tangkapan seorang lelaki, 25, di sebuah rumah di Kampung Sebandi Matang, Asajaya pada 28 Oktober lalu sekitar jam 7 pagi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan.


"Suspek mengaku melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Kota Samarahan dan Kuching bersama tiga lagi rakannya.


"Hasil soal siasat, pihak polis berjaya menangkap tiga lagi lelaki dan merampas enam motosikal dan dua rangka motosikal," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Tambahnya, kesemua rampasan barang kes telah dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.


"Setakat ini, enam kertas siasatan melibatkan barang kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


"Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," tegasnya.


Tambah Brodie, kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan bagi tujuan siasatan lanjut dan mengesan lagi suspek lain yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan ini.


"Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal,"katanya.


Beliau menambah, Op Lejang IPD  akan diteruskan dan akan dibuat secara bersepadu bagi membanteras aktiviti curi kenderaan.


Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan kes-kes jenayah terutamanya melibatkan aktiviti kecurian kenderaan.

Next Post Previous Post