PRU15: Saya terima mana-mana kawasan yang diberikan - Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin masih tidak mengetahui di mana beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15

PUTRAJAYA-- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin masih tidak mengetahui di mana beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan akan menerima mana-mana kerusi yang diputuskan pucuk pimpinan parti untuknya.


"Tak tahulah (kerusi Parlimen mana). Biarlah diumumkan pucuk pimpinan parti. Saya terima mana-mana kawasan yang diberi kepada saya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan tersebut, lapor Bernama.


Menurut spekulasi Khairy tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Negeri Sembilan dan beliau dikatakan hampir pasti bertanding di Sungai Buloh, Selangor.


Sementara itu, Khairy berkata calon yang didapati positif COVID-19 perlu menjalani tempoh isolasi seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan disaran menggunakan media sosial untuk berkempen.


Beliau juga menasihatkan calon dan parti yang bertanding dalam PRU15 untuk sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.


"Kalau calon nak pergi lawatan rumah ke rumah, nak jumpa pesakit terlantar di rumah, tunjuklah teladan yang baik dengan memakai pelitup muka. 


"Kalau kita adakan ceramah di dalam satu dewan dan dewan dah penuh, parti politik dan penganjur digalakkan untuk membuat pengumuman kepada mereka yang hadir supaya digalakkan pakai pelitup muka," katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.