Bekas atlet baling tukul besi negara dilantik sebagai KPD Simunjan


KUCHING--Selepas cemerlang dalam bidang sukan, atlet baling tukul besi Sukan SEA negara, DSP Wong Tee Kue terus melakar kejayaan dalam bidang kerjaya apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) Simunjan yang baru.


Anak kelahiran Sungai Petai, Sarikei,  berusia 58 tahun itu sebelum ini menjawat jawatan sebagai ASP (Pelesenan), Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Sarawak.



Wong memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1986.


Antara jawatan yang dipegang ialah Pegawai Penyiasat Trafik, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur, Pegawai Penyiasat Jenayah, IPD Sibu, Inspektor Perkhidmatan /Perjawatan, IPD Sibu, Ketua Polis Balai Lanang, IPD Sibu dan Pegawai Pelesenan, IPD Sibu.



Dalam bidang sukan, Wong berkecimpung sebagai atlet olahraga negara selama 15 tahun.


Atlet baling tukul besi itu memenangi pingat gangsa pada sukan SEA 1989, Sukan Negara Islam Sedunia 1989, Kuwait (pingat gangsa), sukan SEA 1991, Filipina (pingat emas), sukan SEA SEA 1993, Singapura (pingat emas), sukan SEA 1995, Thailand (pingat emas), World Police and Fire Games Melbourne,Australia, sukan SEA 1997, Indonesia (pingat perak), sukan SEA 1999, Brunei (pingat emas), sukan SEA 2001, Malaysia (pingat emas), Sukan Arafura 2001 Darwin, Austria (pingat emas), World Police and Fire Games Indianapolis, Amerika Syarikat 2001 (pingat emas), sukan SEA 2003, Vietnam (pingat gangsa), World Police and Fire Games Barcelona, Sepanyol 2003 (pingat perak) dan Asia Master Athletics Championships Kuching 2019, Malaysia (pingat emas).



Antara anugerah yang dicapai ialah Olahragawan Negeri Sarawak 1991, Olahragawan MAKSAK Malaysia 1991, 1992, 1993,  Pingat Pahlawan Polis 2014 (PPP), Anugerah Ikon Sukan Sarawak 2016, Pingat Jasa Pahlawan Negara Pahlawan 2019 dan Anugerah Tokah Sukan PDRM 2018.


Majlis serah terima tugas jawatan berkenaan antara ASP Honchin Ludu kepada Wong diadakan di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak sambil disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata hari ini 


Majlis itu turut diiringi serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP daerah itu, daripada Rohidah Zaidel kepada Tan Poh Choo. 


Wong ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau berhasrat memikul tanggungjawab berkenaan dengan baik bagi membantu masyarakat di kawasan tersebut.


"Dengan pelantikan saya sebagai KPD Simunjan, saya akan melakukan yang terbaik untuk masyarakat setempat," katanya.

Next Post Previous Post