Wanita rugi lebih RM1.4 juta ditipu 'jurutera' New Zealand


KUALA LUMPUR— Polis menahan tiga lelaki warga Afrika  di sebuah restoran di ibu negara Jumaat lalu, kerana dipercayai menipu seorang wanita hingga mengalami kerugian lebih RM1.4 juta selepas berkenalan dengan seorang ‘jurutera’  Afrika Selatan yang bekerja di New Zealand.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa yang berusia 54 tahun itu telah berkenalan dengan lelaki warga asing itu melalui Facebook pada April lepas dan meneruskan perkenalan sehingga ke aplikasi WhatsApp dengan menggunakan nombor telefon antarabangsa.


Beliau berkata mereka tidak pernah berjumpa dan sejak April, suspek telah meminta mangsa yang bekerja sendiri mendahulukan wangnya bagi membeli bahan mentah bagi satu projek yang tidak diketahui.


“Akibat mempercayainya, mangsa telah membuat 37 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah RM1,445,900.


“Tidak lama kemudian, mangsa menerima panggilan daripada sebuah syarikat penghantar barang (Global International Diplomatic Services) memaklumkan terdapat ‘kiriman’ dipercayai daripada suspek untuk mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohamad Fakhrudin berkata pada 8 Sept lepas, dua suspek telah bertemu mangsa dan membawa beg berisi wang US$4,200 (kira-kira RM19,813,500) dipercayai kiriman untuk mangsa.


Bagaimanapun, mangsa perlu mempunyai Origin Certificate (sijil asal) dan Ownership Certificate (sijil pemilikan) untuk menerima kiriman itu dan sekiranya tidak, mangsa perlu membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000.


"Kerana telah kehabisan wang, mangsa telah menolak untuk membuat pembayaran berkenaan dan hanya sedar bahawa dia ditipu suspek serta tampil membuat laporan polis pada awal bulan ini,” katanya.


Beliau berkata susulan itu, polis menahan tiga suspek warga Afrika yang disyaki terlibat dalam kes itu.


Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan telah berada di Malaysia sejak 2019.


Menurutnya, kesemua suspek yang berumur lingkungan 35 hingga 48 tahun itu direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post