Bekas ahli politik bergelar ‘datuk’ antara 11 ditahan kes pemerdagangan manusia

Mohd Shuhaily menunjukkan rantai yang dipercayai digunakan untuk merantai mangsa. Gambar kredit PDRM Pulau Pinang

GEORGE TOWN—Polis menahan seorang bekas ahli politik yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdangan manusia iaitu eksploitasi buruh yang terbongkar menerusi beberapa  siri serbuan di Pulau Pinang dan Kedah sejak 27 Okt lepas.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki yang mengaku sebagai Datuk dan berusia 50-an itu ditahan di rumahnya di Daerah Timur Laut, di sini pada 8.25 malam semalam susulan penahanan 10 individu lain dalam siri beberapa siri serbuan, lapor Bernama.



"Bertindak hasil maklumat dan risikan sejak dua minggu lepas, polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah premis rumah kedai di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini pada 27 Okt dan menyelamatkan tujuh mangsa di situ yang dijadikan pusat pemulihan pemulihan dadah dan alkohol.


Beberapa lagi serbuan dijalankan oleh polis kontijen Pulau Pinang dan Kedah telah membuat tangkapan ke atas enam lelaki dan seorang wanita serta berjaya menyelamatkan tiga lagi lelaki sebelum menyerbu rumah di Timur Laut dan menahan Datuk itu bersama seorang wanita dan (seorang) lelaki serta selamatkan tiga lelaki," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Katanya mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita iaitu terdiri daripada penjaga dan pekerja di pusat pemulihan itu manakala mangsa yang diselamatkan ialah lelaki dan kesemuanya mereka berusia 22 hingga 62 tahun.


Mohd Shuhaily berkata siasatan awal mendapati, lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket itu merupakan pengasas pusat berkenaan dan dia tewas ketika bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini semasa PRU14.


Katanya pihaknya juga mendapati pusat pemulihan itu beroperasi sejak dua tahun lepas namun pemeriksaan mendapati tidak berdaftar dengan mana-mana jabatan kerajaan.


Menurutnya, semua mangsa mendakwa mereka diseksa, dipukul dan dipaksa untuk bekerja tanpa diberi bayaran gaji serta cuti malah turut diikat dengan rantai besi dengan diberikan makanan yang sedikit sahaja dan pusat tersebut dilengkapi kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan mereka.


"Kami turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil," katanya.


Mohd Shuhaily berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) 2007.

Next Post Previous Post