Bantuan awal persekolahan RM150 untuk semua murid

Tengku Zafrul berkata, bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM825 Juta itu akan di salurkan pada januari 2022. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR— Kerajaan menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.


Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.


“Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” katanya.


Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.


 Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.


Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.


Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.


Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.


Beliau berkata RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.


Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangssan (SK) Paya Dusun, Terengganu serta SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post