'Geng Ali Kuantao' tumpas, polis selesai kes samun berparang di premis 24 jam


KUCHING--Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpaskan 'Geng Ali Kuantao' yang dipercayai  terlibat dalam kegiatan samun berkawan menggunakan senjata tajam di premis 24 jam yang beroperasi disekitar bandaraya Kuching.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihak polis telah menggerakkan pasukan khas bagi mengesan suspek dalam kes itu.



"Pada Rabu dan semalam kita berjaya menangkap enam suspek lelaki tempatan bersama rampasan.


"Kesemua suspek dalam lingkungan umur 20 hingga 26 tahun yang mempunyai 10 rekod siasatan lampau melibatkan kes dadah dan jenayah harta benda," katanya ketika mengadakan sidang media di sini, hari ini.



Beliau berkata, turut dirampas kenderaan, pakaian, senjata serta cash drawer milik premis.


"Modus operandi yang digunakan kumpulan ini mengacukan  parang untuk menakutkan suspek dan bertopeng muka bagi melindungi identiti.



"Siasatan setakat ini berjaya menyelesaikan lima kes yang dilakukan kumpulan ini," ujarnya.

 

Katanya, siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.



"Kesemua suspek kini dalam tempoh tahanan reman selama tujuh hari sehingga 13 Oktober ini," tegasnya.

Next Post Previous Post