Bajet 2023 pastikan kesejahteraan penduduk Sarawak dan Sabah


KUALA LUMPUR-- Bajet 2023 turut memfokuskan pembangunan antara wilayah untuk memastikan kesejahteraan penduduk negeri Sarawak dan Sabah dengan memberi tumpuan seperti pembinaan sekolah baharu.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antaranya pembinaan sebuah sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dudong Sarawak dan sebuah sekolah SMK Nabalu Sabah serta RM 420 juta bagi membaiki hospital dan klinik daif dan penggantian peralatan usang. 


Menurutnya, keutamaan diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak.


"Bajet 2023 ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan memulih dan memantapkan ekonomi negara dan Keluarga Malaysia pasca pandemik yang telah dijalankan sejak 2021. 


"KKR yakin Bajet 2023 mampu menjadi pemangkin Keluarga Malaysia mendepani cabaran membina semula daya ketahanan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, ia ternyata komitmen kerajaan jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan ini.


"Kementerian Kerja Raya menyambut baik pengumuman Bajet 2023 yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat. 


"Bajet 2023 memberi fokus kepada empat teras utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan, selari dengan tema bajet 2023.


“Keluarga Malaysia Makmur Bersama”," ujarnya.


Katanya, kerajaan mengambil pendekatan responsif iaitu memperkukuhkan momentum pemulihan ekonomi, bertanggungjawab, memperkukuh daya tahan ekonomi dan reformis dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh.

Next Post Previous Post