Bajet 2023: KKR terima RM8.136 bilion - Fadillah


KUCHING-- Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima RM8.136 bilion peruntukan dalam Bajet 2023 iaitu kenaikan 11 peratus berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof. 


Menurutnya, jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM865.27 juta berbanding RM823.5 juta yang diterima untuk tahun 2022. 



"Manakala bajet pembangunan tahun 2023 yang diluluskan adalah sebanyak RM7.270 bilion berbanding RM6.483 bilion pada tahun 2022.


"Secara keseluruhan, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima RM8.136 bilion peruntukan bagi tahun 2023, kenaikan 11% berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun 2022," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya malam ini. 



Fadillah berkata demikian bagi mengulas tentang pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat petang tadi. 


"Alhamdulillah Bajet 2023 bertemakan  'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' menyantuni segenap lapisan rakyat dengan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion berbanding peruntukan RM332.1 bilion dalam Bajet 2022.



"Kerajaan mengambil pendekatan responsif iaitu memperkukuhkan momentum pemulihan ekonomi, bertanggungjawab, memperkukuh daya tahan ekonomi dan reformis dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh," tambahnya. 


Mengulas lanjut Bajet 2023 Fadillah berkata ia menyaksikan Kerajaan bersetuju meneruskan projek mega berimpak tinggi dengan kos RM16.5 bilion bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR), Landasan Kereta Api Berkembar Gemas - Johor Bahru, Johor Bahru– Singapore Rapid Transit System (RTS) Link dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 



Selain itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, sebanyak RM510 juta diperuntukan bagi menambahbaik kemudahan jaringan Lebuhraya ke Pengerang iaitu pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway dan menaiktaraf Lebuhraya Utara Selatan di Senai Utara - Pandan.


Menurutnya lagi, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dipertanggungjawabkan melaksanakan projek pembangunan infra Kementerian Pelanggan seperti membina 85 jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat dengan peruntukan berjumlah RM54 juta.



Selain itu, katanya, RM9 juta juga diperuntukkan kepada JKR bagi menggantikan feri sedia ada yang berusia lebih 34 tahun yang bakal memanfaatkan 30 ribu penduduk Tumpat, Kelantan.


"RM1.1 bilion juga diperuntukan untuk menyenggara dan membaik pulih sekolah merangkumi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Sekolah Agama.


"Manakala RM145 juta untuk penyenggaraan, naik taraf dan pembinaan kemudahan sukan," ujarnya. 


Sehubungan itu, beliau memberitahu KKR akan terus mengambil inisiatif-inisiatif yang selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Next Post Previous Post