4 termasuk 3 sekeluarga dituduh ubah wang haram lebih RM300 juta

Empat individu termasuk tiga sekeluarga membabitkan pengubahan wang haram, 4 termasuk 3 sekeluarga dituduh ubah wang haram lebih RM300 juta

GEORGE TOWN— Empat individu termasuk tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 150 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM300 juta pada 2018 hingga 2020.


Abdul Wahab S. Mohd Mydin, 53, Mohd Nasri Abdul Rahman, 36, Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, dan Resool Bivi Yusof Gini, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.


Mohd Nasri, pengarah urusan sebuah syarikat pelaburan didakwa atas 118 pertuduhan manakala Abdul Wahab, yang merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut didakwa atas 30 pertuduhan, serta dua pertuduhan yang dibaca bersama isterinya, Resool Bivi dan anak perempuannya, Nur Hafeezah.


Di hadapan Hakim Mohammad Khalid, Mohd Nasri menghadapi 60 pertuduhan dan Abdul Wahab 15 pertuduhan serta satu pertuduhan yang dibaca bersama Nur Hafeezah.


Hakim Mohammad Khalid kemudian menetapkan ikat jamin RM300,000 untuk kesemua pertuduhan dihadapi Mohd Nasri, RM50,000 ikat jamin untuk Abdul Wahab dan RM25,000 untuk Nur Hafeezah.


Di hadapan Hakim Mazdi pula, Mohd Nasri didakwa dengan 58 pertuduhan manakala Abdul Wahab berdepan 15 pertuduhan serta satu pertuduhan yang dibaca bersama Resool Bivi.


Mahkamah membenarkan Mohd Nasri diikat jamin RM200,000 bagi kesemua pertuduhan, Abdul Wahab  (RM60,000) dan  Resool Bivi (RM10,000).


Mereka semua didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai bank di Semenanjung antara 2018 hingga 2020.


Kedua-dua mahkamah menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong, manakala Abdul Wahab, Resool Bivi dan Nur Hafeezah diwakili peguam Mashitah Jamaluddin, sementara Mohd Nasri diwakili peguam S. Raveentharan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.