Notification

×

Iklan

Iklan

3 bekas anggota TLDM kekal dipenjara 25 tahun sebabkan kematian rakan setugas

| Oktober 26, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-26T09:12:31Z

PUTRAJAYA— Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun terhadap tiga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang rakan mereka, sembilan tahun lepas.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Muhammad Zahirudin Nordin, 33, Mohd Hood Mah Hasib, 33, dan Muhammad Faidhi Zani, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


"Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat tiada percanggahan material di antara keterangan saksi pendakwaan… yang boleh menjejaskan kes pendakwaan.


"Mahkamah juga mendapati keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan mencukupi untuk menunjukkan niat bersama perayu-perayu. Oleh itu, sabitan terhadap ketiga-tiga perayu adalah selamat. Rayuan perayu-perayu ditolak dan hukuman (Mahkamah Tinggi) dikekalkan. 


"Mahkamah dengan ini mengeluarkan waran pengkomitan terhadap ketiga-tiga perayu berkuat kuasa serta-merta," kata Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan. 


Pada 29 Sept 2016, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh selepas didapati mereka bersalah menyebabkan kematian Asrup Raidin, 27.


Mereka kemudian merayu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengurangkan hukuman terhadap mereka daripada 30 tahun kepada 25 tahun.


Kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa di kawasan lagun Stesen Uniform TLDM di Pulau Terumbu Ubi, Labuan pada 7.36 malam 3 Dis 2013 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Pada prosiding hari ini, peguam Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Noor Akhza Ahmad Khairuddin mewakili Muhammad Zahirudin dan Mohd Hood manakala peguam Shahrul Nizam Azwir dan Muhammad Amin Abdullah mewakili Muhammad Faidhi.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update