Tujuh ahli PPPR terima surat cara pelantikan hari ini

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang bergambar bersama Ahli Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM yang baharu dilantik, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (kiri); Tan Sri Borhan Dolah (dua dari kanan) dan Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail (kanan).


PUTRAJAYA - Seramai tujuh individu telah dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.


Dua daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan lantikan semula manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu dan seorang lagi telah dilantik pada 1 April 2022.


Kesemua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.


Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024.


Ahli-ahli PPPR terdiri daripada:


1. YBhg. Tan Sri Borhan Dolah (Pengerusi) – Lantikan semula

Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)


2. YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (Ahli) – Dilantik pada 1 April 2022

Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)


3. YBhg Prof. Emerita Datuk Dr Asma Ismail (Ahli) 

Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)


4. YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (Ahli) - Lantikan semula

Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya


5. YBhg. Datin Yasmin Tan Sri Ahmad Merican (Ahli)

Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia (MICG)


6. Yang Berusaha Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (Ahli)

Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


7. Yang Berusaha Haji Ali Hassan Mohd Hassan (Ahli)

Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd


Antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.


Selain itu, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.


Dalam pada itu, PPPR juga berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.


Sementara itu, PPPR juga menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik (best practices) dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.


PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya.


Selain itu, PPPR berperanan mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).


Surat cara pelantikan PPPR itu telah disampaikan oleh Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang sambil diiringi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Next Post Previous Post