Pemandu lori maut, 12 cedera termasuk polis
Pemandu lori maut di lokasi kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) di sini petang tadi. Gambar media sosial |
SEREMBAN—Seorang pemandu lori maut, manakala 12 cedera termasuk tujuh anggota polis dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata siasatan awal mendapati pemandu lori muatan tong cat itu dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh, Melaka dan memandu dilorong tengah sebelum mengubah laluan ke kanan lalu menghimpit kereta Toyota Camry serta Perodua Alza.
Van dinaiki PDRM yang terlibat dalam kemalangan. Gambar media sosial. |
"Lori jenis Hino tersebut kemudiannya melanggar besi penghadang lebuh raya di bahagian tengah lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh van Polis Diraja Malaysia dinaiki anggota Johor Bahru Utara yang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata akibat kemalangan itu pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang anggota polis cedera parah di bahagian kaki, enam anggota lagi cedera ringan, manakala pemandu dan empat penumpang dalam kereta Toyota Camry turut cedera ringan.
Katanya bagaimanapun pemandu dan seorang penumpang Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.
Hazri berkata mayat pemandu lori terbabit dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala mangsa lain menerima rawatan di Hospital Rembau, Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka.
Menurutnya lori tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, van polis juga remuk di bahagian hadapan dan kereta Toyata Camry remuk di bahagian hadapan dan belakang, manakala kereta Perodua Alza remuk di bahagian hadapan serta sisi hadapan sebelah kiri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
-- BERNAMA