Tiga individu direman bantu siasatan kes rasuah RM400,000


IPOH-- Dua lelaki dan seorang wanita direman seminggu bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM400,000 berhubung kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan.


Wanita berusia 30 tahun yang merupakan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian serta dua pengarah syarikat berusia 41 dan 50 tahun tiba dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga di Mahkamah Majistret di sini pada kira-kira 10.30 pagi.


Perintah reman bermula hari ini hingga Selasa depan dikeluarkan Majistret Noor Hafiza Ishak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Menurut sumber SPRM, mereka ditahan kerana disyaki terlibat penerimaan wang rasuah daripada pemilik syarikat supaya mendapatkan kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan seluas kira-kira dua hektar di daerah Kinta.


Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan sekiranya ada individu lain turut terbabit dalam kes itu.


  -- BERNAMA

Next Post Previous Post