ATM tambah pos kawalan di sempadan Sabah, Sarawak

Angkatan Tentera Malaysia menambah bilangan pos kawalan keselamatan di sempadan, pengawalan sempadan dan penambahan bilangan pos kawalan keselamatan
Gambar arkib

KUALA LUMPUR-- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menambah bilangan pos kawalan keselamatan di sempadan Sabah dan Sarawak susulan Indonesia akan menjadikan Kalimantan sebagai ibu kota baharu negara itu.


Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata terdapat keperluan untuk angkatan itu menambah pusat kawalan dan bilangan rejimen di situ berikutan pemindahan ibu kota negara berkenaan yang dijangka pada awal 2024.


"Ia sudah ada dalam perancangan dan akan dibuat secara berperingkat kerana apabila berlakunya perpindahan ini, ia akan menambah bilangan penduduk dan sektor ekonomi di kawasan itu,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita dalam wawancara khas sempena sambutan Hari ATM ke-89 pada 16 Sept ini di Wisma Perwira ATM di sini.


Affendi berkata pertambahan penduduk berkemungkinan mewujudkan peningkatan kes jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan. 


Beliau berkata ATM akan bekerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) berhubung pengawalan sempadan dan penambahan bilangan pos kawalan keselamatan di sempadan dibuat secara selari dengan pihak TNI.


"Apabila ATM membina satu pos kawalan di kawasan Malaysia, TNI turut membina satu di kawasan mereka. Insya-Allah, ia akan ditambah lagi pada masa akan datang secara signifikan," katanya. 


Affendi berkata penugasan pengawasan juga akan dimantapkan menerusi kaedah manual iaitu penggunaan tenaga manusia dan kaedah bersistem yang melibatkan penggunaan sensor atau praktis konvensional semasa iaitu penggunaan dron dan pusat kawalan yang boleh memantau dari jarak jauh.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.