Sawit Kinabalu bayar dividen RM30 juta pada kerajaan Sabah

Sawit Kinabalu Group, Dividen interim, Kerajaan Sabah
Hajiji (enam kanan) menyaksikan penyampaian dividen tersebut daripada Bacho Jansie (empat kiri) kepada Safar (lima kanan) di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU— Sawit Kinabalu Group membayar dividen berjumlah RM30 juta kepada kerajaan Sabah untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 dan juga sebagai dividen interim untuk suku kedua tahun ini.


Jabatan Ketua Menteri Sabah berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan dividen oleh Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Group Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong di Menara Kinabalu di sini.


Hajiji, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu Group, menzahirkan pujian kepada kumpulan itu kerana berjaya melepasi sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak 222 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.


“Kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.16 juta berbanding sasaran RM99.11 juta yang disebabkan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) iaitu pada RM6,215 setan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sawit Kinabalu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM350 juta pada tahun lepas.


Sejak dari 1996, kumpulan itu telah membayar dividen berjumlah RM1.3 bilion kepada kerajaan negeri.


Bagaimanapun, Hajiji mengingatkan pihak pengurusan bahawa harga MSM dijangka turun di antara RM4,000 setan dan RM4,300 setan pada separuh kedua tahun ini.


“Saya menyeru pihak pengurusan mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran serta kos pengeluaran yang semakin meningkat,” katanya.


Dalam pada itu, Ketua Menteri juga turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan kerana berjaya memenangi dua anugerah baru-baru ini.


Anugerah yang dimenangi ialah Anugerah Rakan Kongsi Pemuliharaan daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan World Brand Laureate Best Brand Award untuk Corporate Excellence in Palm Oil 2021-2022.


“Sawit Kinabalu merupakan syarikat dalam industri minyak sawit pertama di Sabah yang memenangi Best Brand Award.


“Ini menunjukkan Sawit Kinabalu berada di landasan yang tepat dan saya berharap anugerah itu akan terus memberi motivasi kepada kumpulan untuk bekerja lebih keras bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kecemerlangan,” kata beliau.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.