Pengawal peribadi ditahan miliki senjata api tiruan

Gambar Polis Daerah Ampang Jaya

KUALA LUMPUR—Polis menahan seorang pengawal peribadi di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana di sini dan merampas senjata tajam termasuk senjata api tiruan, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berumur 21 tahun itu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 1.56 pagi.


Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah kerambit, sebuah objek menyerupai pistol dan satu walkie-talkie di dalam beg silang miliknya.


“Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi kepada seorang individu berstatus Datuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 


Mohamad Farouk berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah dan hasil ujian air kencing bagaimanapun negatif.


Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post