Penyanyi era 80-an Aman Shah meninggal dunia

Aman Shah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini. Gambar kredit Awani

KUALA LUMPUR—Penyanyi dan pelakon era 1980-an, Aman Shah, 68, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini akibat komplikasi jantung, pada 2.15 petang tadi. 


Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata jenazah kini berada di IJN bagi urusan bedah siasat dan akan dibawa ke Masjid Alam Damai Cheras untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, dijangka selepas solat Asar. 


"Seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah buat ahli keluarga, semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


Aman Shah yang dilahirkan pada 1954 di Johor Bahru, menjadi pelakon dan penyanyi sejak 1979 selain mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI pada 1980 hingga 1987.  


Antara filem lakonan Allahyarham adalah Darah Satria, Azura dan Aku Bukan Gila, manakala lagu popularnya termasuk Kepulangan Yang Dinanti yang sering berkumandang setiap kali menjelang Aidilfitri.  


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post