Wanita hamil 5 bulan trauma disamun hampir RM30,000

Wanita mengandung lima bulan di samun oleh lelaki dirumahnya

Gambar hiasan kredit unsplash
 


PASIR PUTEH—Seorang wanita mengandung lima bulan berdepan detik cemas apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000 disamun oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, di sini semalam.


Siti Nur Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berkata dia berada di dalam bilik tidur bersama anak lelakinya berusia lima tahun pada 9.50 pagi sebelum didatangi suspek yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap diumpil menggunakan cangkul.


"Lelaki itu mengambil pisau di dapur dan mengarahkan saya menyerahkan beg tangan yang di dalamnya berisi rantai, gelang dan cincin emas serta sejumlah wang tunai.


"Saya tidak berfikir panjang dan terus mengikut arahannya kerana bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.


Suami suri rumah itu, Ruzman Ishak, 46, pula berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja dan dimaklumkan mengenainya kira-kira 10.40 pagi.


"Suspek turut mengambil sebuah telefon pintar dan melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik saya sebelum ditemukan semula di lorong kubur Kampung Chengal Pusas, Jalan Jeram Pasu di sini kira-kira dua kilometer dari rumah pada 4 petang semalam," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.


Beliau berkata lelaki berkenaan sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.