Najib cuti sakit dua hari, perbicaraan kes 1MDB dilapangkan
Datuk Seri Najib Tun Razak. Gambar kredit RTM |
KUALA LUMPUR—Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini dilapangkan hari ini dan esok selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Najib menjalani beberapa ujian perubatan setiap hari di hospital disebabkan keadaan tekanan darahnya dan ulser di dalam perut.
“Saya akhirnya dapat berjumpa dengan anak guam saya itu selepas menanti selama hampir tiga jam hari ini, namun dia (Najib) sendiri tidak tahu berapa lama dia akan ditahan di wad hospital.
“Ada sijil sakit (MC) yang diberikan oleh Jabatan Penjara dan dihantar kepada Muhammad Farhan (seorang lagi peguam Najib) menerusi WhatsApp. Ia berdasarkan kepada pemeriksaan perubatan dan MC adalah bagi 14 dan 15 Sept, dan ia juga memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib kini berada di wad 21 hospital itu,” katanya.
Peguam itu berkata tekanan darah Najib semakin beransur turun selepas dia mengambil ubat yang biasa diambilnya, walaupun ia tidak begitu memuaskan sebagaimana keadaan tekanan darah biasanya.
“Ujian dilakukan terhadap keadaan tekanan darahnya, dan perlu saya maklumkan kepada Yang Arif bahawa anak guam saya mempunyai sejarah ulser teruk dan dia tidak sedar yang tiga bulan lepas dia berada di peringkat kritikal.
“Baru-baru ini Yang Arif sendiri tahu dia pergi ke hospital kerana mengadu rasa tidak selesa dan mereka mendapati banyak ulser yang berdarah. Saya fikir atas sebab itu dia menjalani ujian untuk memastikan tekanan darah tiada kaitan dengan keadaan itu, sebaliknya mungkin kontingensi ubat semata-mata,” kata peguam itu.
Hakim Sequerah kemudiannya bertanya sekiranya Najib mungkin sembuh minggu depan, kerana perbicaraan 1MDB dijadualkan disambung semula pada 26 Sept, dan beliau melapangkan perbicaraan minggu ini kerana tidak mungkin perbicaraan dapat bersambung esok.
Muhammad Shafee berkata beliau berpendapat Najib sepatutnya dalam keadaan lebih baik pada masa itu, tepat pada masanya untuk tarikh perbicaraan yang dijadualkan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk perbicaraan minggu ini dikosongkan kerana MC itu datang daripada pegawai perubatan kerajaan.
Sementara itu ketika ditemui media selepas prosiding Muhammad Shafee berkata Najib “tidak begitu ceria seperti biasa” dan masih mengalami keadaan tidak selesa disebabkan keadaan kesihatannya.
“Doktor telah kembali kepada ubat asal (yang biasa diambil Najib). Ubat sebelum ini dan jumlahnya diberikan mengikut sukatan yang betul, tetapi yang biasa dia gunakan adalah yang asli dan bukan dari jenama generik.
“Bertentangan dengan apa yang dikatakan dalam berita, generik (ubat) mungkin tidak berkesan seperti yang asal,” katanya sambil menambah bacaan tekanan darah Najib semasa di hospital adalah pada 124/84, berbanding bacaan biasa pada 110/80.
Ketika ditanya mengenai kemasukan Najib ke Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Shafee berkata setakat ini tiada tanda-tanda mengenai perpindahannya (Najib) ke hospital pakar.
"Beliau tidak mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan jantungnya, tetapi kerana ia (ulser perut) menyebabkan pendarahan, ia benar-benar boleh menyebabkan masalah jantung yang boleh membawa kepada strok," katanya.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Pada 23 Ogos lepas, Najib dihantar ke penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-- BERNAMA