Mangsa dilibas buaya sebelum terjatuh lalu diseret ke dalam air


BINTULU: Lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Semba, Samalaju dilibas buaya dengan ekornya sebelum terjatuh lalu diseret ke dasar sungai, demikian menurut rakan mangsa, Ardiansyah, 27.


Katanya, semasa kejadian, beliau dan mangsa, yang merupakan rakan senegaranya, Hermanto, 40, sedang memancing di tepi Sungai Semba di kawasan Taman Perindustrian Samalaju sekitar jam 11.20 malam tadi.


"Semasa kejadian, air sedang pasang yang mana kaki mangsa terjutai ke dalam sungai sebelum reptilia ganas itu tiba-tiba melibas mangsa dengan ekornya hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai lalu diseretnya ke bahagian hulu sungai," ujarnya.


Menurut Ardiansyah, insiden yang berlaku depan matanya itu berlaku dalam sekelip sahaja dan tidak sempat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan rakannya itu.


Apa yang beliau ingat ialah ialah buaya berkenaan sememangnya bersaiz besar dan sejurus berjaya mendapatkan mangsa, reptilia terbabit dilihat sudah berada di dasar sungai dan dilihat menyeret badan mangsa ke bahagian hulu Sungai Semba.


Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu dalam kenyataannya terbarunya berkata, usaha pencarian setakat jam 10.30 pagi tadi belum menunjukkan sebarang penemuan terbaru.


Usaha pencarian pada hari pertama ini yang bermula seawal jam 7 pagi tadi yang turut mendapat kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) mensasarkan kawasan pencarian sehingga satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.


Gambar BBP Bintulu: Lokasi mangsa dipercayai memancing sebelum dilibas lalu diseret sang bedal ke dasar sungai.

Next Post Previous Post